Thursday, July 25, 2013

17 Ramadan: Memperingati Badar al Qubra

Pada 12 Ramadan Tahun 2 Hijrah, Rasullullah s.a.w berangkat bersama para sahabat menuju Badar. Ekspedisi ini  berakhir dengan peperangan Badar al Kubra pada 17 Ramadan.
Perang Badar al Kubra adalah peperangan yang terkenal didalam sejarah Islam. Perang ini juga di kenali  Perang Badar al Uzhma, Perang Badar al Qital dan Perang Badar al Furqan. Peperangan ini adalah peperangan yang membedzakan antara yang benar dan yang batil, iaitu diantara yang beriman dengan yang menyegutukan Allah.
Badar terletak di laluan Syam-Mesir berdekatan  pantai Laut Merah , 155 km dari Madinah dan 310 km dari Makah.
Lokasi Badar juga di kaitkan dengan Peperangan Badar Pertama (Perang Safwan) pada pada Jamadil Akhir 2Hijrah dan Peperangan Badar al Mauid pada Dzul Qaedah 4 Hijrah, iaitu lanjutan peperangan Uhud tahun 3 Hijrah.
Peperangan Badar terjadi selepas pihak perisik Rasullah s.a.w mendapat khabar Kafilah Dagang Abu Sufian dalam perjalan pulang dari Syam ke Mekah. Kafilah ini perlu dipintas dan disekat. Abu Sufian pula apabila melalui berhampiran Madinah juga membuat risikan keselamatan perjalanan. Apabil ia mengetahui rancangan kaum Muslimin akan membuat sekatan, ia pun menghantar berita dan memohon pertolongan musryikin Mekah.
Syeikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriyy India Pemenang Hadiah Pertama Pertandingan Seerah Rabitah Alam Islam, Mekkah, di dalam kitabnya al Raheeq al Makhtum, menceritakan tentang kafilah Abu Sofian ini:
Kafilah Abu Sufian itu sarat dengan harta dan barangan penduduk Makkah, terdiri dari seribu ekor unta penuh dengan muatan dan harta benda, dianggarkan tidak kurang dari lima puluh ribu dinar emas, pengawal hanya empat puluh orang sahaja. Inilah peluang keemasan yang harus diambil kesempatan untuk tentera Madinah, dan pukulan tepat pada sasaran ketenteraan, politik dan ekonomi terhadap musyrikin sekiranya semua harta ini dapat dirampas dari tangan mereka. Dengan itu Rasulullah mengisytiharkan kepada kaum muslimin dengan sabdanya yang bermaksud: “Ini dia kafilah Quraisy yang penuh dengan harta mereka, ayuh keluarlah kamu semoga Allah menjadikannya sebagai harta rampasan untuk kamu.”
Rasulullah melantik Ibnu Ummi Maktum sebagai pengantinya untuk mengendali urusan di Madinah dan solat. Tetapi setibanya Rasulullah di suatu tempat, Rasulullah menghantar balik Abu Lubabah bin al-Munzir untuk mengendalikan urusan pentadbiran Madinah. Dalam ekspidisi ini baginda telah melantik Mus’ab bin Umairuntuk membawa Panji Rasullah.
Jumlah tentera kaum Muslim ialah seramai  tiga ratus tiga belas orang (313 atau 314 atau 317 orang) 82 Muhajirin (83 atau 86 orang) al-Aws seramai 61 orang dan 170 orang al-Khazraj. Gambaran persediaan tentera kaum muslimin oleh  di dalam Kitab Sirah al Raheeq al Maktum seperti berikut:
… mereka tidaklah begitu bersiap sangat dan tidaklah membawa peralatan yang selengkapnya, tunggangan mereka hanya dua ekor kuda, kuda al-Zubair bin al- Awwam dan kuda al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, manakala unta bersama mereka hanya tujuh puluh ekor yang ditunggang secara bergilir untuk dua atau tiga orang, Rasulullah bergilir dengan Ali dan Mirthad bin Abi Mirthad al-Ghanawi dengan seekor unta.
Abu Sofian, apabila mengetahui kaum Muslimin akan membuat serangan telah mengelak dari bertembung dengan kaum Muslimin. Kemudian apabila beliau merasa selamat, beliau telah memberitahu tentera Makah supaya berpatah balik.
Tentera musrikin Makah dibawah pimpinan Abu Jahal, seramai 950 orang, bagaimanapun tidak mahu berpatah balik dan berhajat bertemu pasukan Muslimin. Maka pada 17 Ramadan Tahun 2 Hijrah berlakulah perang Badar al Kubra. Ramadan al Buti di dalam Fiqh al Sirah melukiskan:
Menjelang pagi Jumaat (17 Ramadan) Tahun ke 2 Hijrah peperangan antara Musyrikin dan Muslimin pun bermula. Untuk memulakannya Rasulullah mengambil segenggam  anak-anak batu dicampakkan ke arah Quraisy sambil berkata: Binasa sekelian muka ……… dihembuskan ke arah mereka, kerana itu tidak seorang pun tidak kena malahan mata mereka dipenuhi pasir dan Tuhan pun memberikan pertolongannya dengan saff para malaikat a.s  yang turut berperang di samping mereka.
Peperangan pun selesai dengan kemenangan di pihak Muslimin di mana 70 handalan Musrikin terbunuh dan 70 pula tertawan ke tangan Muslimin berbanding dengan 14 Muslimin yang mati sahid.
Daripada 14 orang sahid tersebut, 6 orang adalah Muhajirin dan 8 dari Anshar ( iaitu 6 adri suku Khazraj dan 2 dari suku Aus )
Maksud Firman Allah:
Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.”    – Surah al Anfal :9
Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Karena itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya. – Surah Ali Imran: 123
Rujukan:
Kitab Sirah al Raheeq al Maktum
Atlas Perjalanan Hidup Rasullah – Sami Abdullah al Maghluts
As Sirah An Nabawiyah – Syikh Muhamad Mutawalli Sya’rawi
Fiqah al sirah – Ramadan al Buti
Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam
sumber: ABUREDZA@wordpress

0 ulasan :